Wednesday, 30 November 2011

.::Umar Tidak Berpakaian Jika Pakaiannya Dicuci::.

Jika sekarang kita memiliki beratus-ratus helaian baju yang setiap hari boleh bertukar-tukar mengikut cita rasa kita, namun apakah pakaian yang kita miliki itu mampu menjadikan diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa taat dan takut pada perintahnya. Sekiranya diri kita hanya memiliki sehelai sahaja baju untuk dipakai pada zaman ini, bagaimana agaknya?

Lihatlah sebagaimana kisah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah Allah yang mempunyai peribadi yang soleh, bertakwa, ahli ibadah, wara' dan zuhud. 
Suatu ketika, Umar agak terlambat menunaikan solat Jumaat sehingga menyebabkan banyak orang mencelanya. Umar menjawab. "Maafkan aku, aku terpaksa menunggu pakaianku yang sedang dicuci kering terlebih dahulu."

Maslamah bin Abdul Malik menjenguk Umar yang sedang sakit. Dia melihat baju yang dipakai Umar agak lusuh dan kotor, Dia lalu berkata kepada Fatimah, isteri Umar yang tidak lain adalah adiknya, "Tidakkah engkau boleh mencucikan pakaiannya?" Fatimah menjawab. "Demi Allah, dia tidak memiliki baju selain yang dipakainya itu. Jika aku mencucinya, dia tidak berpakaian lagi". 

Monday, 28 November 2011

.::Khutbah Guru Sebagai Murabbi::.Rasulullah S.A.W Qudwah Pendidik Sepanjang Zaman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama menghayati petikan khutbah di bawah.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Saya berpesan pada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian agar bertakwa kepada Allah S.W.T. Hanya dengan takwa sahaja kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dan hanya dengan takwa sahaja kita akan dibimbing dan dididik oleh Allah S.W.T Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:
“Dan bertakwalah kamu kepada Allah, nescaya Allah akan mendidik kamu”.
SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,
Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting dan amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Oleh kerana itu Islam amat mengambil berat mengenai pendidikan umat Islam. Al-Quran diturunkan dengan misi pendidikan yang amat jelas dimana ayat pertama yang disampaikan kepada Rasulullah S.A.W. melalui Jibril ialah IQRA ,

Ertinya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Surah al-Alaq ayat 1 – 5)

Ini sebagai satu isyarat betapa untuk kita memulakan sesuatu langkah itu kita perlu belajar terlebih dahulu. Rasulullah S.A.W. sebagai utusan Allah untuk menjelaskan kepada umatnya mengenai risalah Islamiah yang dibawa, sekaligus baginda berperanan sebagai guru dan pendidik.
Allah menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.”
Rasulullah merupakan contoh terunggul dalam semua aspek kehidupan.
Sebagai pendidik Rasulullah S.A.W. berjaya membangun para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman, bersedia berkorban apa saja pada jalan Allah, dan akhirnya mereka ini menjadi aset terpenting untuk Islam yang sanggup mengorbankan jiwa, tenaga, harta benda dan kekayaan demi untuk Islam.
Ini adalah hasil pendidikan Imaniyah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendidik bukan hanya dengan teori tetapi lebih banyak disampaikan melalui amali yang bersumberkan diri Rasulullah S.A.W sendiri.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab berterusan sepanjang hayat, ianya tidak berakhir dengan kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, maka kita sebagai penyambung generasi adalah bertanggungjawab melaksanakan misi pendidikan ini.
Para pendidik yang berkecimpung secara khusus dalam bidang pendidikan tidak pernah dilupakan, hari ini 16 Mei merupakan Hari Guru yang disambut setiap tahun adalah satu anugerah, satu pengiktirafan dan penghargaan kepada warga guru yang sentisa berjuang dan berusaha me-realisasikan aspirasi Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Pendidikan yang dikenali di mata dunia.
Selain keperluan prasarana pendidikan yang mencukupi, program-program yang terancang, kepimpinan yang berwibawa dan kerjasama dari para ibu bapa, keberkesanan pendidikan banyak bergantung kepada guru-guru yang menjalankan amanah sebagai mu’allim iaitu menyampaikan ilmu, sebagai murabbi; iaitu mengasuh dan mendidik serta membimbing anak-anak didik dengan penuh kasih sayang, sebagai mu’addib yang membentuk akhlak dan menerapkan nilai-nilai murni, dan seterusnya sebagai muthabbit; iaitu membina keyakinan dan jati diri kepada anak-anak didik melalui contoh teladan yang terbaik.
KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,
Oleh kerana peranan guru bukan setakat mengajarkan ilmu secara teori sahaja, tetapi adalah untuk mendidik, mengasuh dan membim-bing anak-anak didik bagi memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteleks, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Di mana usaha ini digarap bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.
Maka untuk merealisasikan harapan ini, para pendidik mestilah melaksanakan usaha-usaha pendidikan itu berdasarkan Falsafah Pendidikan al-Quran yang menggariskan tiga dimensi penting yang perlu diikuti :
1. Memberi petunjuk dan motivasi yang mengarahkan kepada pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani untuk mencapai martabat insan soleh dan bertakwa kepada Allah S.W.T.
2. Memberi penekanan tentang aspek-aspek pendidikan yang perlu dilaksanakan dalam proses membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dirahmati Allah.
3. Memberi penekanan pendekatan yang berkesan untuk mendidik dan membimbing manusia ke arah mencapai kegemilangan dan kecemerlangan dalam merealisasikan fungsi manusia sebagai khalifah Allah dengan petunjuk dan hidayah-Nya.
SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI,
Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan al-Quran dan berdasarkan aspirasi Negara dalam bidang pendidikan, tugas seorang guru tidak semudah yang disangkakan, kewujudan warga guru yang berupaya melaksanakan tugas-tugasnya adalah satu kemestian dalam menjana ketamadunan ummah, kerana ketamadunan sesuatu bangsa itu diukur dari ketinggian ilmu dan keperibadian bangsa itu sendiri.
Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:
Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.
KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,
Peredaran masa menuntut pengorbanan yang lebih besar dari para guru untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di luar sekolah, untuk memandu masyarakat kearah kebaikan dalam agenda amar makruf dan Nahi mungkar. Dan sebagai seorang guru yang memikul amanah besar dalam agenda pendidikan dan pembangunan insan, maka kualiti guru mesti ditingkatkan melalui latihan yang berterusan, kemahiran dalam bidang-bidang yang berkaitan perlu diterokai, kekuatan jati diri perlu dimantapkan untuk menjadikan guru sebagai qudwah dan role model yang disegani oleh anak-anak didik.
Dan kita tidak dapat menafikan segala bakti dan pengorbanan yang telah ditaburkan oleh guru-guru, apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah sebahagian dari hasil perjuangan dan pengorbanan guru-guru terdahulu, Negara kini diterajui oleh pemimpin-pemimpin berwibawa yang diasuh oleh guru-guru yang berkualiti, dan pengorbanan mereka wajar kita sanjungi dan hargai. Allah S.W.T. mengangkat darjat orang-orang beriman dan berilmu seperti yangb ditegaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 :

Ertinya :
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di-antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu)”.
Seterusnya sama-samalah kita berdoa agar kita semua diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah Allah dalam agenda pendidikan, membangun insan kerana semua kita adalah murabbi sekurang-kurang sebagai pendidik kepada diri sendiri agar tidak alpa dan melupakan Allah S.W.T. Doa kita untuk para guru yang telah kembali kerahmatullah semoga Allah mencucuri rahmat kepada mereka dan menempatkan mereka bersama para anbiya, syuhada dan solehin.

.::Mendidik Anak-Anak::.Siri 1

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anak-anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa. Kelahirannya dinantikan oleh setiap pasangan yang telah membina mahligai perkahwinan yang bertetapan dengan anjuran di sisi Islam. Indahnya kelahiran seorang bayi telah membuka ruang pahala yang meluas buat ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Allah. Menurut Imam al-Ghazali, hati anak-anak yang baru dilahirkan itu bersih. Mereka mudah menerima apa sahaja dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya. Seandainya, anak-anak ini membesar dengan baik, maka akan bergembiralah buat ibu bapanya kerana berjaya membesarkan anak-anak yang berperibadikan seperti tokoh-tokoh Islam yang tersohor namanya. Anak-anak itu diibaratkan kain putih, maka didiklah mereka dengan niat yang baik. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka.” (At-Tahrim: 6).
Ibu, bapa dan guru bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap pendidikan generasi muda. Jika pendidikan mereka baik, maka berbahagialah generasi tersebut di dunia dan akhirat. Tapi jika mereka mengabaikan pendidikannya maka sengsaralah generasi tersebut, dan beban dosanya berada pada leher mereka. Justeru, telah disebutkan dalam suatu hadith Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam:


 كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ 
“Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin, dan masing-masing bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (Muttafaq ‘Alaih).

Maka adalah merupakan khabar gembira bagi seorang guru, perhatikan sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam berikut di bawah ini:

 فَوَ اللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النِّعَمَ 
“Demi Allah, bahawa petunjuk yang diberikan Allah kepada seseorang melalui kamu lebih baik bagimu daripada kekayaan yang banyak.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Dan juga merupakan khabar gembira bagi kedua orang tua, sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam berikut di bawah ini:

 إِذَا مَاتَ اْلإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ 
“Jika seseorang mati maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendo’akannya.” (HR. Muslim).

Maka setiap pendidik hendaknya melakukan penambahbaikan dalam dirinya terlebih dahulu, kerana perbuatan baik bagi anak-anak adalah yang dikerjakan oleh pendidik, dan perbuatan jelek bagi anak-anak adalah yang ditinggalkan oleh pendidik. Kesinambungan bagi maksudnya di sini, sikap baik guru dan orang tua (ibu bapa) di depan anak-anak merupakan pendidikan yang paling utama. Lalu, di antara yang perlu diperhatikan adalah:

1. Melatih anak-anak untuk mengucapkan kalimat syahadat.
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللَّـهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ 
Dan menjelaskan maknanya ketika mereka sudah besar.

2. Menanamkan rasa cinta dan iman kepada Allah dalam hati mereka, kerana Allah adalah Pencipta, Pemberi     
    rezeki dan Penolong satu-satunya tanpa ada sekutu bagi-Nya.
3. Memberi khabar gembira kepada mereka dengan janji syurga, bahawasanya syurga akan diberikan kepada orang-orang yang melaksanakan solat, puasa, mentaati kedua orang ibu bapa dan berbuat amalan yang diredhai oleh Allah, serta menakut-nakuti mereka dengan Neraka, bahawa neraka diperuntukkan bagi orang yang meninggalkan solat, menyakiti ibu bapa, membenci Allah, melakukan hukum selain hukum Allah dan memakan harta orang dengan menipu, membohongi, riba dan sebagainya.
4. Mengajarkan anak-anak untuk meminta dan memohon pertolongan hanya kepada Allah semata-matanya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam kepada anak saudaranya:
“Jika kamu meminta sesuatu mintalah kepada Allah, dan jika kamu memohon pertolongan mohonlah kepada Allah.” (HR. At-Tirmidzi).


Indahnya akhlak seseorang itu terletak pada pendidikan yang diterima melalui ibu bapa, guru dan persekitarannya. 



Sunday, 27 November 2011

.::Minda Memproses Maklumat::.

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Minda merupakan anugerah Allah yang dinikmati oleh hamba-hamba-Nya yang bergelar manusia. Tiada siapa pun boleh menafikan peranan minda yang Allah kurniakan melalui kelebihan yang ada padanya. Apatah lagi peranan minda mampu memberi kesan yang positif sekiranya dapat dipertenguhkan dengan ingatan yang kuat dan segala maklumat yang tersimpan dapat dimanfaatkan ketika diperlukan. Manusia yang Allah S.W.T ciptakan adalah sebaik-baik kejadian. Bersyukurlah pada Allah S.W.T yang telah memilih kita untuk menjadi seorang manusia dan bukannya sebagai haiwan lain atau tumbuh-tumbuhan atau selainnya. 


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan di ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah".
Demikianlah ingatan Allah S.W.T dalam Surah At Tiin, ayat 4-5. 

Merujuk kepada pakar psikologi menggunakan perkataan 'ingatan' bagi menunjukkan kepelbagaian proses dan struktur yang melibatkan penyimpanan dan penggunaan maklumat daripada beberapa pengalaman. Terdapat lebih daripada lima puluh model mengenainya (Craik, 1980; Horton dan Mills, 1984; Tulving dan Donaldson, 1972). Salah satu daripadanya ialah sistem memproses maklumat yang mempunyai tiga urutan, iaitu penerimaan, penyimpanan dan penggunaan.

Maklumat yang diterima tanpa difahami terlebih dahulu mampu mengekalkan daya ingatan yang amat tipis sekali sekiranya penerimaan tersebut tidak berlaku dengan baik. Proses penerimaan memerlukan anda untuk menerjemahkan maklumat daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain. Semasa melihat sehelai baju muslimah yang bergantungan di kedai, otak anda berfungsi untuk menarik maklumat secara pantas apabila mata memerhatikan sesuatu yang menarik perhatian anda. Anda secara pantas melihat tulisan yang ditulis pada bahagian hadapan baju tersebut. Hal ini berkemungkinan warna tulisan pada bahagian baju muslimah itu sangat kontra antara warna yang lain. Manusia mampu menerima banyak maklumat hasil daripada apa yang dilihat, didengar, dirasa ataupun bauan. Namun, pada peringkat ini tidak akan kekal dan akan hilang dengan cepat kerana halangan daripada unsur-unsur persekitaran yang lain.  

Ternyata tahap penerimaan maklumat belum lagi mampu untuk merangsang minda dalam pengumpulan pemprosesan maklumat dengan berkesan. Perlaksanaan ini dapat diteruskan sekiranya penyimpanan maklumat itu disimpan untuk beberapa seketika. Proses penyimpanan berlaku secara automatik dalam dua keadaan iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Semua maklumat yang diterima tidak akan disimpan sebaliknya akan dipilih mengikut keperluan. Penumpuan yang berulang kali mampu menguatkan daya ingatan individu dan akan dipindahkan ke ingatan jangka masa panjang. Di sinilah faktor penggunaan dalam memproses maklumat sering diguna pakai. Misalnya, penggunaan nombor kad pengenalan mahupun nombor telefon kita. Hal ini mampu memprogramkan minda kita untuk terus mengingati tanpa sebarang masalah seperti kekeliruan dan sebagainya.

Sumber:  Artikel Mengekalkan Daya Ingatan, (ADD).

Saturday, 26 November 2011

.::Jaga Hati, Muslimkan Peribadi::.


Editor: Nota Penulis
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Hati apabila dibicarakan tentang isinya pasti ramai orang akan mengalami perasaan yang mendebarkan. Hati andai dapat disentuh dan dipegang maka akan ada yang sanggup untuk membasuhnya sekiranya terlihat kotoran  pada hati itu. Hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dengan hati manusia dapat hidup dengan erti kata yang sebenarnya dan tanpa hati atau hati mati, hidup seseorang tidak bererti. Melalui pengisian ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang satu situasi yang amat penting bagi kita semua. Berkemungkinan situasi di bawah ini ada di antara sahabat-sahabat yang pernah mengalami dan berjaya mengharunginya dengan baik dan mungkin jua sebaliknya. Namun percayalah setiap sesuatu yang ingin kita kerjakan di atas muka bumi Allah ini, pastikan kita sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah. Dan insya-Allah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.  


Tautan Menerusi Komuniti iluvislam (Jaga Hati, Muslimkan Peribadi).

Semoga sahabat-sahabat dan diri ini sentiasa di bawah lindungan-Nya. Demi meraikan harapan seorang sahabat yang dikasihi agar berkongsi sedikit pandangan tentang soal hati ini, saya cuba berkongsi setakat ilmu yang ada, dikutip dari ustaz ustazah di imtiaz dulu, talaqqi Ustaz Muhadir dan Syeikh Fahmi Zamzam, talks di uia dan buku-buku orang hebat seperti Ustaz Hasrizal, Ustaz Zahazan dan seumpanya. Semoga Allah mengurniakan rahmat pada mereka yang banyak mengajar kita erti kehidupan.

.......................................

"Serahkan hatimu pada Allah, pasti DIA temukan dengan pemilik terbaik"

Sesungguhnya, terdapat tiga peringkat cinta di dalam Islam sebagaimana dalam surah at-Taubah, ayat 24.

1) CINTA AGUNG: Cintakan Allah, Rasulullah dan berjihad di jalan-Nya.

2) CINTA PERTENGAHAN: Cinta pada ibu bapa, anak-anak, suami isteri, saudara mara dan kaum kerabat.

3) CINTA RENDAH: Cintakan kaum kerabat dan harta benda melebihi cinta pada Allah , Rasulullah dan cintakan jihad di jalan-Nya..

Mana satukah pilihan cinta kita? Cinta pertama atau kedua atau ketiga?

Syeikh Yusri: "Sekiranya kamu diberi pilihan oleh Allah untuk membuat pilihan sendiri. Katakanlah: "Wahai Tuhanku, aku memilih apa yang Engkau pilihkan untukku, supaya aku bersama dengan apa yang Engkau cintai dan Engkau redhai". Begitu besarnya pengharapan dan tawakkal mereka pada Allah. Kita pula bagaimana? Teringat kata-kata Ustazah Fatimah Syarha sewaktu beliau datang ke UIA: "Orang yang mabuk bercouple ni tidak percaya akan qada' qadar Allah". Benarkah? Jadi, jawapannya ada pada kata-kata Datuk Hasan Din Al Hafiz dalam al kuliyyah: "Bila mana seorang bayi dilahirkan, telah tercatat di Luh Mahfuz Allah, siapakah jodoh dan ajal mautnya. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa berdoa agar dikurniakan yang terbaik dan diri kita sendiri dahulu perlu menjadi baik. Dalam bulan Islam sendiri ada waktu mustajab doa yang dapat mengubah takdir hidup kita, contohnya waktu lailatul qadar, malam nisfu sya'ban dan waktu-waktu mustajab doa yang lain. Percayalah pada qada' qadar Allah. Dia yang telah menciptakan kita dan Dia LEBIH TAHU APA YANG TERBAIK BUAT KITA". Jadi, kiranya tidak perlulah untuk kita mencari cinta kerana semuanya telah Allah tetapkan? Cinta akan datang sendiri? Boleh percaya ke? Nanti jadi bujang terlajak pula? Bagaimana?


Saya tidak puas hati bila tidak dapat mencari jawapan bagi soalan killer di atas. Lalu, saya bertanyakan seorang ustaz tentang soalan tadi. "Adakah kita tidak perlu mencari cinta??" Lalu, dengan berhikmah, ustaz tu menjawab: "Ramai yang sibuk mencari cinta untuk baitul muslim, tapi tahap pertama iaitu fardul muslim pun masih belum sempurna lagi. Kalau tapak tak kukuh, bagaimana agaknya binaan itu akan teguh?? Saya terdiam sambil merenung jauh kata- kata ustaz tersebut. Jika solat pun sering sahaja kita lengahkan, solat subuh selalu lewat, rasa malas nak buat sesuatu kerja, sikap ammarah pun belum mampu kita kawal, bagaimana agaknya kita nak fikir tentang tahap kedua matlamat umum tarbiyyah (baitul muslim) itu?".. Waktu sekarang, fokus untuk belajar dan tambah ilmu dahulu. Hal yang patut fikir kemudian, fikirlah kemudian. JIKA KITA NAK PAKSA ANAK AYAM MENETAS SEBELUM TIBA WAKTU SEBENARNYA UNTUK MENETAS, IA TAKKAN MENJADI ANAK AYAM YANG NORMAL. Pentingkan yang terpenting dahulu, ikut kesesuaian masa. Islam tidak mengajar umatnya sikap gopoh dan terburu- buru


Lalu ustaz tu bertanya lagi, kenapa anti tanya soalan begini? Sudah bersedia untuk tahap kedua ke? Masya Allah, sungguh malu dengan ustaz waktu itu. Jawabku dengan jujur, "Bukanlah ustaz. saya hanya mencari jawapan yang boleh saya jadikan sebagai panduan, sebab sebelum ni ada seorang sahabat datang bertanya, cinta itu kan fitrah, jadi semua orang pasti akan rasa minat pada golongan yang berlainan jantina dengan kita. Kalau tidak, pasti ia bukan manusia normal. Jadi, saya tidak tahu apakah jawapan terbaik untuk melegakan dan meyakinkan hati saya dan sahabat itu". Ustaz itu hanya tersenyum sambil bibirnya terus laju menuturkan mutiara hikmah:"Cinta ini memang fitrah, tapi jangan kita jadikan ia fitnah. Contohnya, bila kita sedang berpuasa, kita disuruh agar tidak mendekati makanan kerana boleh jadi ia membawa fitnah yang boleh membawa kita berbuka puasa. Maka begitu juga CINTA, rasa suka itu fitrah. Jadi, kita dilarang mendekati maksiat seperti zina hati, dating dan bergayut dengannya di telefon agar fitrah itu tidak menjadi fitnah. Sebagaimana firman Allah dalam surah al Isra' ayat 32: 'Jangan kamu dekati zina'. "Ulama' menafsirkan ayat wala taqrobuzzina ini akan terjadi melalui dengan 7 cara:


1) Nazoro (memandang) - Oleh sebab itu, Allah menyarankan agar lelaki dan perempuan beriman agar menjaga pandangan kerana demikian itu lebih suci bagi mereka (An Nur: ayat 30-31)

2) Ibtasama (senyum) - senyum itu ibadah, tapi hati-hati kerana ia dapat menjadi fitnah jika disalah gunakan

3) Salaam (mengutuskan salam)

4) Kalam (bercakap)  

5) Irsaalun (mengutuskan surat/ message/ chat)

6) Liqo' (dating tanpa mahram bersama)

7) Fa waqo'a (maka zina akan berlaku kerana apabila sepasang lelaki dan perempuan berdua-duaan, syaitan akan menjadi orang ketiga).


Jadi,bagi pasangan yang belum halal statusnya, anda berada di tahap mana? Rasanya sudah ramai yang berada di tahap keenam. DATING.. Fikir-fikirkanlah, cuma tinggal beberapa tahap sahaja lagi untuk anda sampai ke tahap kemuncak yang mana ia adalah dosa besar di sisi Islam. Ingat, syaitan itu licik. Nabi Adam pun boleh terpengaruh dengan pujuk rayu iblis agar memakan buah larangan Allah di syurga, bagaimana agaknya kita?

Sama-samalah kita renungkan dan bermuhasabah kembali.

.......................
Sedarlah sahabat,
Islam itu agama syumul.
Islam bukanlah mengharamkan cinta, tapi ia memuliakan cinta.
Islam tidak mengongkong umatnya, tapi ia menjaga umatnya,
Agar kita semua terselamat daripada cinta dusta,

Namun,
Malang sekali nasib umat Islam kini,
Batasan pergaulan tidak dijaga,
Pasangan dating tidak malu menayangkan dosa,
Kes zina pula makin berleluasa,

Tapi ingat !!!
Sunnatullah telah menetapkan,
Mungkar dibalas dengan azab,
Masih ingatkah kisah kaum Nabi terdahlu?
Apakah kita mahu seperti mereka?
Diseksa keras di dunia,
Dikeji Allah dalam kalam-Nya,
Di akhirat pula diazab di neraka.
Ya Allah, dahsyatnya azab-Mu

Jadi ayuhlah sahabat,
Kita bangkit dari kejahilan diri,
Usah malu untuk berubah,
Usah bertangguh untuk bertaubat,
Semuanya berada di tangan kita,
Syurga atau neraka, mana satu pilihan kita???
.............................


Jadi, andai sekarang kita sudah bergelumang dengan cinta sesama manusia, mujahadahlah. Jangan sesekali kita mengotorkan kesucian fitrah ini dengan maksiat hati yang dapat mengeraskan hati kita daripada melihat kebenaran, sebagaimana kata Imam Ghazali: Tiga perkara yang dapat mengelapkan hati ialah:



1) Banyak berdebat dengan orang jahil.

2) Banyak bergaul dengan ajnabi.

3) Banyak bergaul dengan orang mati iaitu orang yg tidak mengikuti majlis ilmu selama 40 hari. Imam Ghazali dengan sinis berkata, sila sembahyangkan jenazah pada orang yang mengasingkan diri dari majlis ilmu selama 40 hari kerana sesungguhnya, tiada guna lagi hidupnya kerana hatinya (raja segala anggota) telah mati. Sungguh tajam kata-kata imam hebat ini.

Maka, apabila hatimu keras, bukalah Al Quran, bacalah dan tadabburlah maknanya, namun jika hatimu masih keras juga, dirikanlah solat. Sesungguhnya, solat itu zikir penyucian jiwa. Namun, jika masih keras jua, bangunlah waktu dinihari. Berwudhu' dan berdoalah, pintalah pada TuhanMu agar dikurniakan hati yang lain.

Ma'al Hijrah 1433H

Sempena Ma'al Hijrah 1433H ini, ayuhlah kita mulakan langkah baru menuju husnul khatimah. Tinggalkan segala kemungkaran, ingatlah pada Allah sentiasa. IHFAZILLAH YAHFAZKA, IHFAZILLAH TAJIDHU TIJAAHAK. (jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah, nescaya Allah sentiasa di sisimu). Bagaimana cara menjaga Allah? Jagalah diri kita dari melakukan kemaksiatan pada-Nya. Apabila diri terasa ingin membuat dosa, segeralah istighfar, baca a'uzubillah, ayat kursi, tiga qul, ambil wudhu', dan dekatkan diri dengan teman yang baik. MUJAHADAH ITU PAHIT KERANA SYURGA ITU MANIS.


IHFAZILLAH YAHFAZKA, IHFAZILLAH TAJIDHU TIJAAHAK

"SESUNGGUHNYA, WANITA MUKMINAT LEBIH CANTIK DARIPADA BIDADARI SYURGA"


Sumber : Komuniti iluvislam.com dan Usrah Rasa Hati

 
Theme by Yusuf Fikri