Sunday, 25 December 2011

.::Senyum Adalah Sedekah::.

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Wajah yang tanpa dihadiri senyuman tidak dapat menampakkan seri di mukanya. Malah mempamerkan kekusutan yang jelas dan terang.  Adakalanya kita sebagai manusia begitu mudah terlupa untuk mengukir sebuah senyuman yang mana pelaksanaannya begitu mudah sekali dilakukan tanpa memerlukan kepayahan  sehingga mengeluarkan duit yang berjuta-juta untuk mendapatkannya. Malah senyuman itu berada di setiap wajah manusia yang Allah ciptakan. Terpulang pada diri sendiri untuk menggerakkan otot-otot muka untuk senyum mahupun tidak. Bahkan haiwan-haiwan juga mampu mengukirkan sebuah senyuman walaupun mereka tidak memahaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.
 
Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.

Mulai hari itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa menguntum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.

Tidak hairan jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya-Allah, apapun persoalannya nescaya dapat di atasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu s.a.w beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan seberat biji sawi”. Seorang laki-laki bertanya : “Ada seseorang suka bajunya bagus dan sandalnya bagus (apakah termasuk kesombongan?)”. Beliau menjawab : “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia." (Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Riwayat Ahmad)

Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha." (Riwayat Muslim).

Dalam aspek kesihatan senyuman yang diukir merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melaui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.


Senyum seindah suria yang membawa cahaya.
Senyumlah dari hati.
Duniamu berseri.
Senyum umpama titian dalam kehidupan.
Kau tersenyum, ku tersenyum.
Kemesraan menguntum.
Senyum kepada semua.
Senyumanmu amatlah berharga.
Senyum membahagiakan.
DENGAN SENYUMAN, TERJALINLAH IKATAN.

Thursday, 8 December 2011

.::Wahai Kekasih::.

Artis: Nazrey Johani
Wahai Kekasih 

Wahai seorang kekasih,
Telah lama kau dirindui
Pilu sedih dalam kerinduan
Menangis pun tak berair mata
Namun hati tetap gembira
Syafa’atmu menanti di sana

Sungguh tabahnya hatimu
Menanggung derita yang melanda
Biarpun perih pedih tersiksa
Kerana ummat kau tempuhi jua

Wahai rasul kaulah segalanya
Contoh terbaik ummat akhir zaman
Akhlakmu tinggi kan kami jejaki
Sifatmu sempurna pelengkap peribadi

Wahai rasul kami merindui
Sinaran wajahmu mendamaikan jiwa
Manis senyumanmu penawar hiba
Di hati kami kaulah segalanya

Wahai seorang kekasih,
Telah lama kau dirindui
Pilu sedih dalam kerinduan
Menangis pun tak berair mata
Namun hati tetap gembira
Di akhirat kita kan bersua.

Sunday, 4 December 2011

.::Mendidik Anak-Anak::.Siri 2

MENGAJARKAN SOLAT


1. Pengajaran solat kepada anak lelaki mahupun perempuan pada masa kecil adalah wajib agar mereka terbiasa apabila sudah dewasa kelak. Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam bersabda:

 عَلِّمُوْا أَوْلاَ دَكُمُ الصَّلاَةَ إِذَا بَلَغُوْا سَبْعًا وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا إِذَا بَلَغُوْا عَشْرًا وَفَرِّقُوْا بَيْنَهُمْ فِى الْمَضَاجِعِ 
“Ajarkanlah solat kepada anak-anakmu jika sudah sampai umur tujuh tahun, pukullah kerana meninggalkannya jika sudah sampai umur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.” (HR. Ahmad).


Pengajaran solat tersebut dilakukan dengan wudhu' dan solat di depan mereka, membawa mereka pergi bersama ke masjid, memberikan kepada mereka buku tentang cara-cara mengerjakan solat sehingga seluruh keluarga mempelajari tatatertib solat. Hal ini merupakan kewajiban seorang guru dan kedua ibu bapa untuk mengajarnya. Setiap pengurangan tanggungjawab tersebut akan ditanya oleh Allah. Andai kita gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut, jawapan yang bagaimana kita mahu bentangkan pada Allah kelak?

2. Mengajarkan Al-Qur’anul Karim kepada anak-anak, di-mulai dari surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek serta menghafal do’a tahiyat untuk solat. Bagi memantapkan fadhu ain anak-anak tersebut, ibu bapa boleh menghantar ke sekolah agama ataupun menyediakan guru untuk mengajarkan tajwid, menghafal Al-Qur’an dan Hadith.

3. Mendorong anak-anak solat Jumaat dan berjemaah di masjid di belakang kaum lelaki, berlemah lembut dalam memberi nasihat jika mereka bersalah, tidak dengan suara keras dan menakutkan mereka, agar mereka tidak meninggalkan solat kemudian kita juga yang berdosa kerana gagal menggunakan pendekatan yang dapat menambat hati anak-anak. 

          Para pendidik, mahupun ibu bapa atau guru perlu menjalankan amanah Allah ini dengan bijaksana. Mendidik anak-anak ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dan bersabarlah atas kebaikan yang diberi. Sesungguhnya dalam menginginkan buah yang baik, cantik kulitnya, dan lembut isinya, maka haruslah disemai dan dijaga dengan baik pada awalnya. Bentuklah anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

                   "Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat   
                    kebaikan". (Surah Hud: Ayat 115). 

 

Friday, 2 December 2011

.::Pendakwah Muslimah, Facebook dan Media::.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekadar berkongsi apa yang dibaca di ruang laman sesawang blog Ustazah Fatimah Syarha. Semoga pengisian tersebut memberi manfaat bersama. 

 “Mintalah fatwa pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hatimu gelisah. [H.R. Ahmad dan al-Dârimî]


Surat Remaja Buat Ustazah

Salam mahabbah ustazah yang kusayangi kerana Allah...
Didoakan agar ustazah sentiasa dirahmati Allah...
Saya ada sedikit nak berkongsi dengan ustazah.
Saya pernah bertanya pensyarah saya tentang pendapat beliau bagi muslimah yang meletakkan gambar di dalam blog atau facebook.
Ada kawan-kawan yang mengatakan saya ni syadid bila saya tidak meletakkan gambar di ruang-ruang facebook atau di dalam blog. Jujurnya pada pendapat saya sendiri, saya tak ingin dikenali oleh muslimin. Bimbang fitnah itu datang dari hanya sekeping gambar, walaupun ganbar itu gambar yang sempurna dengan menutup aurat. Tambahan pula sebagai muslimah, bagi saya perlu menjaga rapi dirinya walau di alam maya.
Pensyarah saya melarang kami meletakkan gambar di dalam laman-laman sosial walau untuk tujuan berdakwah kerana bimbang bila ada yang berniat jahat cuba mengambil gambar tersebut untuk menyihir kita...

Balasan Ustazah

Salam sayang buat ukhti.
Terima-kasih atas perkongsian. Terasa perkongsian ini lahir dari hatimu yang tulus dan menyayangi diriku ini.

Setiap orang mempunyai pendapat. Ustazah hormati. Dan setiap orang tidak berhak memaksakan orang lain terhadap pendapatnya, selagi mana kedua-dua pendapat itu masih di atas garis hukum dan tidak melanggar syariat. Bersabarlah dengan dakwaan kawan-kawan ukhti itu kerana ustazah yakin ukhti mempunyai fatwa hati tersendiri. 

Pesan Nabi, “Mintalah fatwa pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hatimu gelisah. [H.R. Ahmad dan al-Dârimî]

Apakah hukum meletakkan gambar sopan dan menutup aurat di facebook?

Sesetengah orang menempelak muslimah yang berdakwah dengan gambar, drama, filem, buku, ceramah umum, video-video kreatif, facebook, blog  dan sebagainya dengan hujah matlamat tidak menghalalkan cara. Persoalannya, apa yang tidak halal dengan cara ini? Adakah ia sesuatu yang disepakati haram oleh semua ulama’?

Perbahasan tentang isu ini dikiaskan dengan perbahasan hukum muslimah membuka wajah. Ianya adalah soal khilaf. Jumhur ulama mengatakannya harus. Keharusan itu terpakai kepada semua bentuk samada muslimah berada dalam surat khabar, kulit buku, video, televisyen dan sebagainya.

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.” Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini. (Rujuk buku Wanita Dalam Fiqh al-Qaradhawi)

             Hal ini bergantung juga kepada niat. Urusan niat seseorang adalah urusannya dengan Allah. Terpulanglah samada kita memilih untuk berbaik sangka dengan niatnya atau berburuk sangka dengan niatnya itu, semuanya bakal dihisab Allah. Kutukan-kutukan berupa sengaja ingin dipuji, sengaja nak tunjuk cantik dan sebagainya itu, semuanya akan diadili oleh Allah SWT samada benar atau tidak. Pesan Allah SWT di dalam al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada mengandungi dosa.” (al-Hujurat : 12)

Sesuatu Yang Harus Ada Kebaikan dan Keburukan

Tabiat sesuatu yang hukum asalnya adalah harus, mempunyai kebaikan dan keburukan. Kita berhak mempertimbangkan mana yang lebih mendatangkan banyak kebaikan dan mana yang lebih banyak mendatangkan keburukan.

Contohnya, makan kek yang manis adalah harus. Kebaikan kek ialah ia boleh mengembirakan orang pada hari-hari istimewa kerana rasanya yang sedap. Keburukannya pula, ia boleh memberi risiko kegemukan, kencing manis dan sebagainya.

Maka, bolehkah kita melarang orang memakan kek? Ataupun, bukankah lebih hikmah jika kita tidak menghalang orang makan kek, sebaliknya, memberi panduan bagaimana berpada-pada makan kek dengan aturan dan caranya yang sesuai.

Luaskan yang Halal, Sempitkan Yang Haram
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia, terutama dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram. Kerana kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil, melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang sahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa, contoh dadah diqiyas dengan rokok) yang jelas illatnya (sebab) terhadap nas.

Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu (justeru) menyusahkan kamu. Jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).

Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).

Berdakwah Dengan Kemajuan Teknologi

Berbalik kepada isu meletakkan gambar muslimah di facebook, spesifiknya gambar sopan dan menutup aurat, ustazah hormati muslimah yang tidak melakukan hal ini. Begitu juga muslimah yang tidak mahu terlibat dengan dakwah melalui video, ceramah umum, televisyen dan sebagainya. Mereka berhak mempunyai hujah dan fatwa hati tersendiri.

Ustazah pula mempunyai hujah dan fatwa hati ustazah tersendiri. Ustazah tertarik dengan kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi apabila beliau membahaskan tentang harusnya muslimah membuka wajah, beliau berkata, " Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”

Risiko kemungkinan disihir bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar difacebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah hidup dengan cara hidup Islam dan melazimi zikir-zikir terpilih daripada al-Quran dan as-Sunnah. Risiko difitnah pula bukan hanya terjadi kepada muslimah yang meletakkan gambar di facebook semata-mata malah kepada setiap manusia. Perisainya ialah terus hidup dalam tarbiah (suasana mendidik) dan tetap berdakwah, insya-Allah sekalipun difitnah, akan dibela Allah SWT.

Zaman Berubah, Pemikiran Wanita juga Boleh Berubah Selagi Dalam Batas

Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.

            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”

         Beliau berkata lagi, “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah.”

Bagaimana jika lelaki memandang dengan syahwat?

Antara risiko lain bagi wanita yang mendedahkan wajah ialah takut-takut lelaki fasik memandangnya dengan syahwat. Mari kita teliti perbahasan ulama berikut:
As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”

Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”
Perintah menundukkan pandangan dalam konteks ini ditujukan kepada lelaki tersebut. (Wanitapun kena tundukkan pandangan tapi tidak wajib menutup wajah dan mukanya dalam konteks ini). Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.

Namun, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?

Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”

        Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja. Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Maslahah Kecil atau Maslahah Besar?

            Melihat cantiknya seorang pendakwah wanita dalam media cetak atau elektronik mungkin menyebabkan seorang lelaki terfitnah. Namun, mungkin kehadirannya di arena itu juga menjadi sebab 1000 orang wanita lain mendapat hidayah dengan izin Allah SWT. Mutiara ilmunya, pakaiannya, budi bahasanya dan apa-apa yang dia tonjolkan secara langsung menjadi ikutan, bukan sekadar mendengar teori tanpa gambaran yang jelas. Patutkah kita hanya memikirkan maslahah yang sedikit hingga mengabaikan maslahah yang lebih besar?

            Pengalaman hidup saya sendiri ketika di alam remaja, saya dahagakan idola. Saya sedar, idola paling utama ialah Rasulullah SAW. Selain itu, tokoh-tokoh wanita yang masih hidup turut mengesani peribadi saya. Seperti kebanyakan remaja lain, saya ingin melihat idola saya itu berkata-kata secara langsung, berperibadi di depan mata dan menunjukkan contoh dengan perbuatannya. Bukan itu sahaja, saya mahukan gambar idola saya itu disemat di dalam dompet agar saya dapat mencontohinya. Saya bersyukur apabila menemui gambar tokoh pejuang seperti Zainab al-Ghazali. Begitu juga gambar puteri sulung Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Ilham dan sebagainya.

Muslimah yang tidak meletakkan gambar di facebook atau meletakkannya, masing-masing ada fatwa hati, dan ada niat suci tersendiri. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mempunyai tujuan. Masing-masing mengikut garis hukum dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam.





Ustazah Fatimah Syarha :

Minta fatwa hati...tidak boleh merubah yang wajib jadi tak wajib, yang haram jadi tak haram...


apa yang ana faham, minta fatwa hati merujuk kepada perkara yang asal hukumnya harus namun hukum itu boleh 

berubah mengikut niat masing-masing...

maka, jika kita lakukan perkara harus itu memberi ketenangan hati, itu tanda-tanda ia suatu kebaikan.

jika kita lakukan perkara harus itu meresahkan jiwa, itu tanda-tanda ia lari dari niat asalnya.

Bentangkan depan Allah, kalau kita yakin kita mampu jawab depan Allah, yakinlah dan teruskan.


Thursday, 1 December 2011

.::Sifat Malu Kaum Wanita::.

Editor : Nota Penulis
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Malu adalah akhlak yang menghiasi perilaku manusia dengan cahaya dan keanggunan yang ada padanya. Inilah akhlak terpuji yang ada pada diri seorang lelaki dan fitrah yang mewatakkan pada diri setiap wanita. Sehingga, sangat tidak masuk akal jika ada wanita yang tidak ada rasa malu sedikit pun dalam dirinya. Rasa manis seorang wanita salah satunya adalah buah dari adanya sifat malu dalam dirinya.
Apakah yang dimaksudkan dengan sifat malu itu? Imam Nawani dalam Riyadhush Shalihin menulis bahawa para ulama' pernah berkata, “Hakikat dari malu adalah akhlak yang muncul dalam diri untuk meninggalkan keburukan, mencegah diri dari kelalaian dan penyimpangan terhadap hak orang lain.”
Abu Qasim Al-Junaid mendefinisikan dengan kalimat, “Sifat malu adalah melihat nikmat dan kurnia sekaligus melihat kekurangan diri, yang akhirnya muncul dari keduanya suasana jiwa yang disebut dengan malu kepada Sang Pemberi Rezeki.”
Ada tiga jenis sifat malu iaitu:
1. Malu yang bersifat fitrah. Misalnya, malu yang dialami saat melihat gambar seronok, atau wajah yang memerah kerana malu mendengar ucapan yang kotor.
2. Malu yang bersumber dari iman. Misalnya, seorang muslim menghindari berbuat maksiat kerana malu atas muraqabatullah (pantauan Allah).
3. Malu yang muncul dari dalam jiwa. Misalnya, perasaan yang menganggap tidak malu seperti tidak berpakaian di hadapan orang banyak.
Karena itu, beruntunglah orang yang mempunyai sifat rasa malu. Kata Ali bin Abi Thalib, “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”
Bahkan, Rasulullah saw. menjadikan sifat malu sebagai bahagian dari cabang iman. Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Iman memiliki 70 atau 60 cabang. Paling utama adalah ucapan ‘Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan di jalan. Dan sifat malu adalah cabang dari keimanan.” (HR. Muslim dalam Kitab Iman, hadith bilangan 51)
Dari hadith itu, kita perlu mengambil kesimpulan bahawa tidak akan ada sifat malu dalam diri seseorang yang tidak beriman. Akhlak yang mulia ini tidak akan berdiri tegak dalam jiwa orang yang tidak mempunyai landasan iman yang kuat kepada Allah swt. Sebab, rasa malu adalah pancaran iman.
Tentang kesejajaran sifat malu dan iman dipertegaskan lagi oleh Rasulullah saw., “Malu dan iman keduanya sejajar bersama. Ketika salah satu dari keduanya diangkat, maka yang lain pun terangkat.” (HR. Hakim dari Ibnu Umar. Menurut Hakim, hadith ini sahih dengan dua syarat-syarat Bukhari dan Muslim dalam Syu’ban Iman. As-Suyuthi dalam Al-Jami’ Ash-Shagir menilai hadith ini lemah.)
Kerana itu, sifat malu tidak akan mendatangkan kemudharatan. Sifat ini membawa kebaikan bagi pemiliknya. “Al-hayaa-u laa ya’tii illa bi khairin, sifat malu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan,” begitu kata Rasulullah saw. (HR. Bukhari dalam Kitab Adab)
Dengan kata lain, seseorang yang kehilangan sifat malunya yang tersisa dalam dirinya hanyalah keburukan. Buruk dalam ucapan, buruk dalam perangai. Tidak dapat kita bayangkan jika dari mulut seorang muslimah meluncur kata-kata kotor lagi kasar. Bertingkah dengan penampilan seronok dan bermuka tebal. Tentu bagi dia syurga itu jauh. Kata Nabi, “Malu adalah bahagian dari iman, dan keimanan itu berada di surga. Ucapan kotor berasal dari akhlak yang buruk dan akhlak yang buruk tempatnya di neraka.” (HR. Tirmidzi dalam Kitab Birr wash Shilah, hadith bilangan 1932)
Hal itu, menjadi penting bagi kita untuk menghiasi diri dengan sifat malu. Dari mana sebenarnya energi sifat malu dapat kita miliki? Sumber sifat malu adalah dari pengetahuan kita tentang keagungan Allah. Sifat malu akan muncul dalam diri kita jika kita menghayati betul bahawa Allah itu Maha Mengetahui, Allah itu Maha Melihat. Tidak ada yang dapat kita sembunyikan dari Penglihatan Allah. Segala lintasan fikiran, niat yang tersembunyi dalam hati kita, semua diketahui oleh Allah swt.
Jadi, sumber sifat malu adalah muraqabatullah. Sifat itu hadir setika kita merasa di bawah pantauan Allah swt. Dengan kata lain, ketika kita dalam kondisi ihsan, sifat malu ada dalam diri kita. Apa itu ihsan? “Engkau menyembah Allah seakan melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Ia melihatmu,” begitu jawapan Rasulullah saw. atas pertanyaan Jibril tentang ihsan.
Itulah sifat malu yang sesungguhnya. Sebagaimana yang sampai kepada kita melalui Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Malulah kepada Allah dengan malu yang sebenar-benarnya.” Kami berkata, “Ya Rasulullah, alhamdulillah, kami sesungguhnya malu.” Beliau berkata, “Bukan itu yang aku maksud. Tetapi malu kepada Allah dengan malu yang sesungguhnya; iaitu menjaga kepala dan apa yang difikirkannya, menjaga perut dari apa yang dikehendakinya. Ingatlah kematian dan ujian, dan barangsiapa yang menginginkan kebahagiaan alam akhirat, maka ia akan tinggalkan perhiasan dunia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu, maka ia memiliki sifat malu yang sesungguhnya kepada Allah.” (HR. Tirmidzi dalam Kitab Shifatul Qiyamah, hadith bilangan 2382)
Ingat! Malu. Bukan pemalu. Pemalu (khajal) adalah penyakit jiwa dan lemah berkeperibadian akibat rasa malu yang berlebihan. Sebab, sifat malu tidaklah menghalangi seorang muslimah untuk tampil menyuarakan kebenaran. Sifat malu juga tidak menghambat seorang muslimah untuk belajar dan mencari ilmu. Contohlah Ummu Sulaim Al-Anshariyah.
Dari Zainab binti Abi Salamah, dari Ummu Salamah Ummu Mukminin berkata, “Suatu ketika Ummu Sulaim, isteri Abu Thalhah, menemui Rasulullah saw. seraya berkata, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu pada kebenaran. Apakah seorang wanita harus mandi bila bermimpi?’ Rasulullah menjawab, ‘Ya, bila ia melihat air (keluar dari kemaluannya kerana mimpi).’” (HR. Bukhari dalam Kitab Ghusl, hadith bilangan 273)
Saat ini banyak muslimah yang salah menempatkan rasa malu. Apalagi situasi pergaulan antara lelaki dan wanita. Ketika ada lelaki yang menyentuh atau menghulurkan tangan mengajak bersalaman, seorang muslimah dengan ringan menyambutnya. Ketika kita tanya, mereka menjawab, “Saya malu menolaknya", " Tidak mengapa hanya sementara sahaja". Adakah kamu tidak malu pada Allah?. Fikir dan renungkan bersama.
Wanita yang beriman adalah wanita yang memiliki sifat malu. Sifat malu tampak pada cara dia berbusana. Ia menggunakan busana takwa, iaitu busana yang menutupi auratnya. Para ulama bersepakat bahawa aurat seorang wanita di hadapan lelaki adalah seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan telapak tangan.
Buat kaum wanita,  salah satu ciri bahawa imannya kuat adalah dengan kemampuannya memelihara rasa malu. Dengan adanya rasa malu, segala tutur kata dan tindak tanduknya selalu dikawal. Insya-Allah, Allah akan memelihara hati agar tidak berbuat sesuatu yang menyimpang dari bimbingan Al-Quran dan Sunnah. Wanita muslimah perlu menyedari bahawa semakin kurang iman seseorang, semakin kurang rasa malunya. Semakin kurang rasa malunya, semakin rendah kualiti akhlaknya.

Dakwatuna.com

.::Ingatlah Dirimu::.

Editor : Nota Penulis






Wahai srikandi ummah,
 Pernahkah kamu menjejak insan ikhlas bernama Siti Khadijah isteri tercinta Muhammad S.A.W?

Wahai muslimah,
Adakah kamu mempunyai ciri-ciri pengasuh pemimpin masa depan ummah?

Wahai pemudi,
Sudahkah kamu menguasai ilmu bagi melengkapkan puzzle hidup insan bergelar suami?







Bismillahirahmannirahim...

Ya ALLAH...
Usahlah dibiaskan kilauan dunia ini
Menghalangi kami untuk memasuki syurga-Mu
Usahlah dibiarkan keperitan dunia ini menghentikan 
Langkahan kami menuju firdaus-Mu

Teguhkanlah hati kami
Kukuhkanlah komitmen kami
Cukuplah hanya Engkau tempat kami bergantung

Martabatkanlah hati kami yang fakir ini
Menuju jalan abadi
Redhailah kami
Rahmatilah kami
Dan ampunkanlah kami, Ya Allah...

Amin...

Rinduku Pada Baitullah
 
Theme by Yusuf Fikri