Thursday, 24 November 2011

.::Kisah Umar bin Abdul Aziz Sebelum Menjawat Jawatan Khalifah::.

Umar bin Abdul Aziz dilahirkan di Madinah. Ketika meningkat remaja dan berfikiran matang, dia sering menziarahi Abdullah bin Umar kerana tempat tinggal ibunya berada di sisinya. Dia lalu kembali kepada ibunya dan berkata, "Bonda, aku ingin menjadi seperti pak cik ku (Abdullah bin Umar)." Dia akrab dengannya.

Ibunya berkata kepadanya, "Pergilah mengembara dan kamu akan menjadi seperti bapa saudaramu." Ibunya mengulang kata-katanya itu berulang-ulang kali. Apabila meningkat dewasa, bapanya iaitu Abdul Aziz bin Marwan, pergi ke Mesir untuk menjadi amir di sana. Abdul Aziz lalu menulis surat kepada isterinya, iaitu Ummu Ashim supaya menyusulinya bersama-sama putera mereka. Ummu Ashim menemui bapa saudaranya Abdulah bin Umar dan memberitahunya mengenai surat yang dikirimkan oleh suaminya. Ibn Umar berkata kepadanya, "Wahai anak saudaraku, dia adalah suamimu maka pergilah kepadanya."

Ketika Ummu Ashim hendak berangkat, Ibn Umar berkata, "Tinggalkan anak ini kepada kami. (Maksudnya Umar, kerana dia seperti ahli keluarga kami)." Umar lalu ditinggalkan. Ketika Ummu Ashim tiba, Abdul Aziz tercari-cari puteranya, Umar, tetapi dia tidak menemuinya. Abdul Aziz bertanya kepada isterinya, "Di mana Umar?" Ummu Ashim menceritakan segalanya mengenai Abdullah bin Umar dan permintaannya supaya meninggalkan Umar bin Abdul Aziz kerana dia sama seperti ahli keluarganya (keluarga besar Umar bin al-Khattab). Abdul Aziz gembira mendengarnya. Dia terus menulis surat untuk memberitahu mengenainya kepada saudaranya, Abdul Malik bin Marwan. Abdul Malik bin Marwan terus memerintahkan untuk memberi seribu dinar setiap bulan kepada Umar bin Abdul Aziz.

Beberapa lama selepas itu, Umar mengunjungi ayahnya dan menetap di rumah ayahnya untuk beberapa lama. Suatu hari, Umar menunggang keldai dan terjatuh. Kepalanya terluka. Berita itu sampai ke pengetahuan Ashbagh bin Abdul Aziz yang ketika itu masih kecil. Dia mentertawakannya. Berita Umar terjatuh dari keldai dan tertawanya Ashbagh sampai kepada Abdul Aziz. Abdul Aziz memarahi Ashbagh dan berkata, "Saudaramu terjatuh dan kepalanya terluka, mengapa engkau tertawa gembira?"

Ashbagh menjawab, "Bukan begitu. Aku tidak mempunyai maksud yang tidak baik, Amir. Aku tidak mentertawakan dia dengan niat untuk mencelanya. Aku juga tidak bergembira atas kemalangan yang menimpanya. Sejatinya, aku melihat tanda-tanda luka pada keturunan Umayyah telah terkumpul kecuali satu luka. Ketika dia terjatuh dan kepalanya luka, hal itu membuatkan aku gembira kerana dia menyempurnakan tanda-tanda itu. Itu membuatkan aku tertawa. Demi Allah, sungguh itu adalah luka kepala pemimpin bani Umayyah." Abdul Aziz terdiam. Kemudian dia berkata, "Orang yang menjadi harapan tidak patut dididik kecuali di Madinah." Lantas, dia terus menghantar Umar kembali ke Madinah.

Umar lalu memerintah di Madinah, memberikan keteladanan dan sejarah yang baik. Bau wanginya tercium dari jauh, rambutnya terurai rapi dan indah, dia menghulurkan sarung jubahnya dan melenggang jalannya. Meskipun begitu, dia tidak pernah tercela yang berkaitan dengan perut, kemaluan dan pemerintahan.

0 comments:

Post a Comment

 
Theme by Yusuf Fikri