Sunday, 27 November 2011

.::Minda Memproses Maklumat::.

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Minda merupakan anugerah Allah yang dinikmati oleh hamba-hamba-Nya yang bergelar manusia. Tiada siapa pun boleh menafikan peranan minda yang Allah kurniakan melalui kelebihan yang ada padanya. Apatah lagi peranan minda mampu memberi kesan yang positif sekiranya dapat dipertenguhkan dengan ingatan yang kuat dan segala maklumat yang tersimpan dapat dimanfaatkan ketika diperlukan. Manusia yang Allah S.W.T ciptakan adalah sebaik-baik kejadian. Bersyukurlah pada Allah S.W.T yang telah memilih kita untuk menjadi seorang manusia dan bukannya sebagai haiwan lain atau tumbuh-tumbuhan atau selainnya. 


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan di ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah".
Demikianlah ingatan Allah S.W.T dalam Surah At Tiin, ayat 4-5. 

Merujuk kepada pakar psikologi menggunakan perkataan 'ingatan' bagi menunjukkan kepelbagaian proses dan struktur yang melibatkan penyimpanan dan penggunaan maklumat daripada beberapa pengalaman. Terdapat lebih daripada lima puluh model mengenainya (Craik, 1980; Horton dan Mills, 1984; Tulving dan Donaldson, 1972). Salah satu daripadanya ialah sistem memproses maklumat yang mempunyai tiga urutan, iaitu penerimaan, penyimpanan dan penggunaan.

Maklumat yang diterima tanpa difahami terlebih dahulu mampu mengekalkan daya ingatan yang amat tipis sekali sekiranya penerimaan tersebut tidak berlaku dengan baik. Proses penerimaan memerlukan anda untuk menerjemahkan maklumat daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain. Semasa melihat sehelai baju muslimah yang bergantungan di kedai, otak anda berfungsi untuk menarik maklumat secara pantas apabila mata memerhatikan sesuatu yang menarik perhatian anda. Anda secara pantas melihat tulisan yang ditulis pada bahagian hadapan baju tersebut. Hal ini berkemungkinan warna tulisan pada bahagian baju muslimah itu sangat kontra antara warna yang lain. Manusia mampu menerima banyak maklumat hasil daripada apa yang dilihat, didengar, dirasa ataupun bauan. Namun, pada peringkat ini tidak akan kekal dan akan hilang dengan cepat kerana halangan daripada unsur-unsur persekitaran yang lain.  

Ternyata tahap penerimaan maklumat belum lagi mampu untuk merangsang minda dalam pengumpulan pemprosesan maklumat dengan berkesan. Perlaksanaan ini dapat diteruskan sekiranya penyimpanan maklumat itu disimpan untuk beberapa seketika. Proses penyimpanan berlaku secara automatik dalam dua keadaan iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Semua maklumat yang diterima tidak akan disimpan sebaliknya akan dipilih mengikut keperluan. Penumpuan yang berulang kali mampu menguatkan daya ingatan individu dan akan dipindahkan ke ingatan jangka masa panjang. Di sinilah faktor penggunaan dalam memproses maklumat sering diguna pakai. Misalnya, penggunaan nombor kad pengenalan mahupun nombor telefon kita. Hal ini mampu memprogramkan minda kita untuk terus mengingati tanpa sebarang masalah seperti kekeliruan dan sebagainya.

Sumber:  Artikel Mengekalkan Daya Ingatan, (ADD).

0 comments:

Post a Comment

 
Theme by Yusuf Fikri