Monday, 28 November 2011

.::Mendidik Anak-Anak::.Siri 1

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anak-anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa. Kelahirannya dinantikan oleh setiap pasangan yang telah membina mahligai perkahwinan yang bertetapan dengan anjuran di sisi Islam. Indahnya kelahiran seorang bayi telah membuka ruang pahala yang meluas buat ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Allah. Menurut Imam al-Ghazali, hati anak-anak yang baru dilahirkan itu bersih. Mereka mudah menerima apa sahaja dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya. Seandainya, anak-anak ini membesar dengan baik, maka akan bergembiralah buat ibu bapanya kerana berjaya membesarkan anak-anak yang berperibadikan seperti tokoh-tokoh Islam yang tersohor namanya. Anak-anak itu diibaratkan kain putih, maka didiklah mereka dengan niat yang baik. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka.” (At-Tahrim: 6).
Ibu, bapa dan guru bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap pendidikan generasi muda. Jika pendidikan mereka baik, maka berbahagialah generasi tersebut di dunia dan akhirat. Tapi jika mereka mengabaikan pendidikannya maka sengsaralah generasi tersebut, dan beban dosanya berada pada leher mereka. Justeru, telah disebutkan dalam suatu hadith Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam:


 كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ 
“Setiap orang di antara kamu adalah pemimpin, dan masing-masing bertanggungjawab atas yang dipimpinnya.” (Muttafaq ‘Alaih).

Maka adalah merupakan khabar gembira bagi seorang guru, perhatikan sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam berikut di bawah ini:

 فَوَ اللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النِّعَمَ 
“Demi Allah, bahawa petunjuk yang diberikan Allah kepada seseorang melalui kamu lebih baik bagimu daripada kekayaan yang banyak.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Dan juga merupakan khabar gembira bagi kedua orang tua, sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam berikut di bawah ini:

 إِذَا مَاتَ اْلإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ 
“Jika seseorang mati maka terputuslah amalnya kecuali tiga hal: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendo’akannya.” (HR. Muslim).

Maka setiap pendidik hendaknya melakukan penambahbaikan dalam dirinya terlebih dahulu, kerana perbuatan baik bagi anak-anak adalah yang dikerjakan oleh pendidik, dan perbuatan jelek bagi anak-anak adalah yang ditinggalkan oleh pendidik. Kesinambungan bagi maksudnya di sini, sikap baik guru dan orang tua (ibu bapa) di depan anak-anak merupakan pendidikan yang paling utama. Lalu, di antara yang perlu diperhatikan adalah:

1. Melatih anak-anak untuk mengucapkan kalimat syahadat.
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللَّـهُ مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ 
Dan menjelaskan maknanya ketika mereka sudah besar.

2. Menanamkan rasa cinta dan iman kepada Allah dalam hati mereka, kerana Allah adalah Pencipta, Pemberi     
    rezeki dan Penolong satu-satunya tanpa ada sekutu bagi-Nya.
3. Memberi khabar gembira kepada mereka dengan janji syurga, bahawasanya syurga akan diberikan kepada orang-orang yang melaksanakan solat, puasa, mentaati kedua orang ibu bapa dan berbuat amalan yang diredhai oleh Allah, serta menakut-nakuti mereka dengan Neraka, bahawa neraka diperuntukkan bagi orang yang meninggalkan solat, menyakiti ibu bapa, membenci Allah, melakukan hukum selain hukum Allah dan memakan harta orang dengan menipu, membohongi, riba dan sebagainya.
4. Mengajarkan anak-anak untuk meminta dan memohon pertolongan hanya kepada Allah semata-matanya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallaahu Alaihi Wa Sallam kepada anak saudaranya:
“Jika kamu meminta sesuatu mintalah kepada Allah, dan jika kamu memohon pertolongan mohonlah kepada Allah.” (HR. At-Tirmidzi).


Indahnya akhlak seseorang itu terletak pada pendidikan yang diterima melalui ibu bapa, guru dan persekitarannya. 



0 comments:

Post a Comment

 
Theme by Yusuf Fikri