Thursday, 23 February 2012

.::Untukmu Bidadari Dunia::.

Wanita adalah satu simbolik yang sering dikaitkan dengan kelembutan dan jua kesopanannya. Warna putih pula dikaitkan dengan suci dan bersih.
Sehelai kain kanvas putih pada mulanya akan diwarnakan oleh si pelukis, untuk mencorakkan apa yang diinginkan begitu juga dengan manusia, ini kerana manusia itu lahir dalam keadaan yang suci tanpa cacat cela.
Islam tidak menghalang wanita menghias diri dalam apa keadaan pun tapi haruslah mengikut garisan islam.
"Katakanlah, kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan menjaga kehormatan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang tampak darinya. Hendaklah mereka mengulurkan/menutupkan kain kudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau mertua mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung." - Surah Al-Nur (24): 31
Muslimah kini haruslah bergerak mencari "role model" terbaik bagi membentuk dan menyerlahkan lagi penampilan serta bakat tersendiri sepertimana Saidatina Khadijah r.a. isteri Rasulullah S.A.W.
Sebagai insan biasa kita tidak mungkin dapat menyamai Saidatina Khadijah r.a. namun sebagai hamba Allah swt, kita boleh berusaha memupuk dan menyemai sifat-sifat terpuji itu secara beransur-ansur dengan sabar.
Antara sifat-sifat terpuji itu ialah taat perintah Allah, berakhlak mulia, dermawan, sabar, tabah, cekal, penyayang, berwawasan dan berfikiran kreatif.
Keikhlasan hati beliau terletak di kedudukan langit tertinggi yang hanya boleh dicapai oleh insan yang melakukan sesuatu hanya kerana Allah swt semata-mata.
Selaras degan tuntutan kini yang dahagakan ilmu dan jua memerlukan sesuatu proses bagi menimbulkan kesedaran diri untuk menjadi yang terbaik diantara yang terbaik, maka pihak iluvislam.com ingin turut serta meyumbangkan tenaga ke arah pembentukan muslimah sejati, muslimah terbaik.

Atas dasar tangungjawab kepada Ummah, iluvislam merancang bagi mengadakan satu program yang boleh dijadikan landasan kepada para muslimah, mencari dan memperbaiki diri, di samping menambahkan ilmu pengetahuan.
Melalui misi melaksanakan tanggungjawab fardhu kifayah serta membentuk wanita muslimah yang berketrampilan dan kuat dengan pendedahan Islam yang lengkap, Konvensyen Bidadari Dunia ini bermatlamat melahirkan lebih ramai pendakwah mullimah sejati. Konvensyen ini juga membantu para wanita agar menjadi wanita serta anak solehah. Selain itu, ini juga memberi anjakan paradigma dalam diri setiap muslimah demi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik disamping mengamalkan syariat Islam.
Konvensyen yang menghimpunkan 19 tokoh wanita terbaik dari pelbagai lapangan pengetahuan ini membawakan persoalan dan kisah menarik 19 tokoh terkemuka seluruh Malaysia.
Antara ahli panel yang dijemput termasuklah Prof. Madya Dr Syarifah Hayati Syed Ismail, Dr Nikki Syuhada Shukor, Wardina Safiyyah, Catriona Norhayati Ross Bahrin, Amie Sofie, Prof. Muhaya dan ramai lagi.
Konvensyen Bidadari Dunia ini bermula dari 24 hingga 25 Mac 2012. Tuan dan puan yang berminat menyertai Konvensyen istimewa khas buat wanita ini boleh melayari "www.bidadaridunia.com" bagi maklumat lanjut.

Sunday, 19 February 2012

.::Menangis Terapi Dalam Islam Dan Perubatan::.

Tuhan menganugerahkan dua biji mata kepada manusia untuk menikmati keindahan ciptaan dan melihat semua kebaikan yang telah diberikan. Di sebalik kenikmatan yang dilihat, terkadang itu manusia tidak dapat lari dari memandang keperitan dan seksaan di dunia hingga mampu mengeluarkan air mata.

Namun, menangis itu merupakan anugerah dan terapi yang berkesan menurut agama Islam dan kajian perubatan.
Telah bersabda Rasulullah SAW, “Ya Allah, anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”
Menangis itu merupakan pelajaran terpenting dalam Islam sebagai Muslim untuk bermuhasabah diri dan mengingatkan diri dengan segala seksaan yang Allah turunkan. Maka bagi setiap diri yang bergelar hamba, wajarlah bagi kita semua meluangkan waktu untuk menangis. Jikalau belum mampu untuk menangis, belajarlah untuk menangis, atau bermulalah dengan berpura-pura menangis.

Tidak dinafikan, para Nabi dan Rasul serta para sahabat di zaman mereka sering menjadikan tangisan sebagai perhiasan dalam solat-solat, doa-doa dan zikir-zikir mereka kerana takutkan kepada Allah SWT.
Telah diriwayatkan dalam hadis, ”Barangsiapa yang menangis kerana takutkan Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat.”

Dari segi amalan perubatan, menangis itu dapat menyahkan zat berbahaya dari tubuh badan. Zat-zat kimia yang dihasilkan oleh tubuh ketika dalam ketakutan boleh disingkirkan melalui tangisan.
Menangis juga akan meningkatkan kadar degupan jantung. Degupan jantung akan meningkat ketika menangis dan ia dianggap sebagai latihan yang berguna bagi rongga badan, urat-urat dada dan kedua-dua belah bahu. Selepas menangis, kadar degupan jantung kembali perlahan sehingga menimbulkan perasaan yang sangat tenang.

Selain itu, tangisan akan menghalang penyakit menyerang tubuh badan kita. Universiti Temple dari Amerika Syarikat telah mengkaji 100 orang yang menghidap penyakit radang usus besar dan luka pada perut dan 100 orang yang sihat.

Mereka mendapat jawapan yang agak mengejutkan. Hampir semua pesakit yang menghidapi penyakit tersebut mengatakan bahawa menangis adalah tanda lemahnya peribadi, maka mereka memilih untuk memendam rasa hati mereka. Manakala bagi mereka yang tidak menghidap sebarang penyakit mengatakan menangis adalah sesuatu yang semula jadi dilakukan pada waktu dan tujuan yang sesuai.

Tidak ramai yang mengetahui, air mata mengandungi 25% protein. Kajian-kajian yang dijalankan oleh para saintis membuktikan bahawa air mata mengandungi 25% protein dan satu bahagian daripada zat terutamanya magnesium. Ini adalah unsur yang tidak seimbang dan boleh menjadi racun kepada manusia. Ia dapat dibebaskan daripada manusia ketika menangis.

Oleh itu, tidak salah untuk manusia menggunakan tangisan sebagai salah satu cara untuk menghadapi sesuatu perkara tidak kiralah perkara yang sedih mahu pun gembira. Seharusnya kita menggunakan anugerah yang Tuhan berikan supaya dapat memberikan kebaikan kepada diri kita. Insya-Allah.

Sunday, 22 January 2012

.::Allah Itu Sweet::.So Sweet::.

Pernah tak terfikir, saat bila kita mula berkenalan dengan Allah? Kalau ditanya, mungkin ramai yang akan kata, lahir ke dunia ni mestilah terus kenal Allah. Umur 5 tahun dah di ajar Iqra'. Umur 6 tahun di ajar solat. Umur 8 tahun mula puasa penuh. Jadi, dah lama la kita kenal Allah ni. Tapi kalau di tanya, Allah tu macam mana? Apa sifat-sifat Allah? Yang 20 tu. Apa nama-nama Allah? Yang 99 tu... em.. belum tentu semua orang ingat. Belum tentu semua orang hafal. Paling penting, belum tentu semua orang tahu. Paling teruk, belum tentu semua orang benar-benar nak tahu. Yang tahu, kenal Allah bila solat. Kenal Allah bila mengaji. Kenal Allah bila puasa. Tapi, Allah kan ada di mana-mana. Tiap-tiap ketika. Tak sedar ke Allah tu sentiasa ada?

Saya mula berkenalan dengan Dia pada tahun 2009. Hah? Baru 2 tahun?! Ye! Baru 2 tahun.
Habis tu, selama ni tak kenal Allah? Bukan tak kenal. Kenal, tapi tak cukup kenal. Jadi, buat-buat kenal.
2 tahun tu jangka masa yang cukup singkat. Kalau bayi, mungkin dah boleh jalan. Tapi bercakap, pelat lagi. Macam tu la tempoh masa perkenalan saya dan Dia. Cukup pendek. Tapi, satu hal yang sangat-sangat saya kenal, pasti dan yakin tentang Dia. Allah ni kan... SWEET~~
Allah ni Sweet
Takkan ada manusia yang mampu jadi pendamping hidup setanding Dia.
Dia Pemberi Kekuatan
Ke mana saya pergi, Dia akan sentiasa di sisi. Menemani diri saat saya keseorangan, menemani diri saat saya kesedihan, menemani diri saat saya kegelisahan. Jadi, takkan pernah rasa takut sebab Dia ada.
Terkadang bila nak balik rumah dari placement, badan terasa sangat penat. Berdiri 8 jam sepanjang hari, berkejar ke sana sini, nak drive balik rumah tersangat-sangat penat. Ditambah dengan kesesakan jalan raya. Pernah sekali kat traffic light, sebab dah lama sangat tunggu, bila bersandar kat tempat duduk, tak sedar terlena. Nasib baik Dia kejutkan. Lampu dah hijau! Okeh, gerak. Walapun dah ngantuk sangat, tapi Dia suruh kuatkan diri. Alhamdulillah, selamat sampai rumah. Makan, solat, tido.
Terkadang pernah balik seorang diri dari Ferryden Park. Pukul 11.30 malam. Nak balik Evandale. Gelap gelita sudah. Sorang-sorang. Takut ke? Tak... Gementar je sikit. tapi takpe, Dia kan ada. Dia akan sentiasa jaga saya.
Allah kan Maha Melindungi. Sweet kan?!
"Tidakkah kamu tahu bahawa Allah memiliki kerajaan langit dan bumi? Dan tidak ada bagimu pelindung dan penolong selain Allah."
(Al-Baqarah: 107).

Dia Peneman Bicara

Banyak yang terpendam di lubuk hati. Tapi terkadang terasa nak meluahkan pada seseorang. Tapi terkadang ragu. Bukannya boleh dapat penyelesaian. Dan terkadang ada kata-kata yang tak terluah.
Tapi pada Dia, saya tak malu nak bercerita. Semua sekali! Walaupun terkadang ada kata-kata yang segan untuk dituturkan dengan kata-kata, tapi Dia kata takpe. Tak perlu ucapkan dengan kata-kata pun. Tak perlu susahkan diri untuk susun ayat. Sebab Dia kata Dia dah tahu apa yang terpendam dalam hati saya tanpa perlu saya kata apa-apa. Wah! Allah tu sweet kan!
"Katakanlah, Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, Allah pasti mengetahuinya," Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Allah Mahakuasa atas segala sesuatu."
(Ali 'Imran: 29).

Dia yang Kaya Raya
Selalukan kalau kita dengar cerita atau tengok kawan kita yang keluar dating tiba-tiba bawak balik banyak hadiah. Teddy bear la, kad la, bunga la, baju, kasut dan etcetera. Banyak o.. Pastu semua orang mula la puji. "Eh, bagus la pakwe ko. Sweetnye~~"
Eleh, cukup sweet dah ke tu? Kalau yang bf tu sekadar guna duit loan, scholar, atau kerja nak belanja kita, mesti akan ada tika masanya kita kena jugak guna duit sendiri. Paling-paling duit tambang bas, teksi atau komuter nak keluar. Still! Duit kita akan kurang jugak. Siapa yang berani kata duit dia tak pernah kurang walau 1 sen pun setiap kali keluar? (Tapi sekarang 1 sen dah tak laku. Jadi, 5 sen la).
Tak cukup sweet tu...
Kalau dengan Dia, Dia sangat kaya raya. Duit-duit yang saya dapat, semua daripada Dia. Bukan saja duit, semua yang saya ada sekarang ni, semua Dia yang bagi. Segala-galanya. Amacam? Hebat tak Dia. Ada ke manusia yang sehebat Dia? Pasti tiada!

Tapi kan, sebab Dia sangat sweet, Dia tak bagi semua ni pada saya directly. Nak tambahkan sweetness tu, Dia bagi melalui medium lain. Daripada ma abah, daripada sponsor saya dan lain-lain. Sebab kalau Dia bagi direct, Dia tahu saya akan segan sebab saya tak ada apa-apa pun nak bagi untuk balas balik apa yang Dia dah berikan pada saya. Sweetkan Allah?!
"Katakanlah (Muhammad), " Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab, "Allah." Maka katakanlah, "Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepadaNya)?"
(Yunus: 31).

Dia yang Pemaaf

Manusia ni susah nak mengaku salah. Paling teruk, susah nak meminta maaf. Haih!
Dengan Dia, saya ada BANYAK kisah tentang kesalahan, kesilapan dan... keMAAFan.
Daripada mula saya lahir, sampailah umur 23 tahun  dah banyak kali dah saya sakitkan hati Dia. Dia kata jangan buat, saya buat jugak. Apa yang Dia suruh buat, saya tak nak buat. Degil! Kalau dengan manusia, dah lama dah saya patut kena marah. Tapi, Dia tak pernah marahkan saya. Dia sabar layan kerenah saya. Sebab Dia tahu, masa tu saya tak betul-betul kenal Dia, saya tak benar-benar fahami Dia. Jadi, Dia bagi saya peluang lagi.
Tapi bila dah tahu, bila dah kenal, terkadang tu tetap jugak saya ulang balik kesalahan yang lalu. Tapi, dengan muka tak malunya, saya pergi minta maaf kat Dia balik. Dan Dia... selagi roh masih belum ditarik ke kerongkong... Dia PASTI akan tetap maafkan saya. Sweetnye~~
"Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Az-Zumar: 53).

Dia Pemberi Ketenangan
Keluh kesah. Resah gelisah. Perasaan yang setiap orang pasti pernah merasainya. Bila nak exam, bila kena siapkan assignment, bila nak pergi interview etcetera.
"Aku kalau ada apa-apa masalah, aku tak kisah. Kalau dengar je suara Adam (bukan nama sebenar), hati aku mesti tenang." 
Kalau sesama perempuan?
"Sesama perempuan ni lain. Diorang tak faham sebab kita sama kan. Kalau dengan yang berlainan "makhluk" ni, lebih mudah untuk saling memahami. Cas yang sama kan saling menolak. Bila cas yang berlainan baru saling menarik." erk!

Tapi, bila bergaduh...
"Benci betul la aku dengan si Adam (masih bukan nama sebenar). Dah banyak kali call, tapi tak angkat phone pun! Dia yang buat salah, tapi dia pulak yang merajuk. Dah la.... (terhamburlah semua kekurangan si Adam tuh)." A'ah, tenang la sangat.

Paling tak best, bila perempuan yang marah, si Adam pun ikut merajuk sekali. Bukannya nak pujuk. Perempuan pulak yang kena pujuk balik. Apekah! Come on la Bro! Tak sweet!!!
Haih~
Tapi kalau dengan Dia, tak pernah ada kes main tarik-tarik tali ni. Sebab yang pasti, Dia takkan pernah merajuk dengan saya walau apa pun yang saya buat. Dan setiap kegelisahan, kesedihan, kesulitan, Dia pasti sentiasa menemani saya, mengurangkan bebanan perasaan. Dan takkan pernah berhenti. Sweet kan?!
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram."
(Ar-Ra'd: 28).

Yang Pasti, Dia pun Rindukan Saya Jugak!
Allah ni sweet. Dia bagi saya banyak sangat nikmat yang takkan mampu saya hitung. Tapi tulah. Dah pun namanya manusia. Yang bermaksud pelupa.
Ada ketika saya buat dunno je dengan Dia. Dia sentiasa ada je kat sisi. Tapi terkadang saya tak layan pun Dia. Tapi, Dia tetap jugak bagi saya macam-macam nikmat. Saya pulak tak berterima kasih pun kat Dia. Sebab bila saya syok sendiri sangat, lupa bahawa Dia yang sebenarnya bagi kat saya setiap sesuatu tu. "Ek" betul saya kat Dia, kan!
Tapi... Dia sangat sweet... Dia pun rindu saya jugak. Dia nak saya ingat kat Dia. Dia nak saya sebut nama Dia. Dia nak saya minta tolong pada Dia. Sebab kalau boleh, Dia memang nak bagi semua benda yang saya mintak on the spot! Tang tang tu jugak Dia boleh bagi. Tapi ada yang Dia hold dulu. Sebab Dia nak saya dapat yang lagi BEST! Lagi SYOK!
"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."
(Al-Baqarah: 216).

Jadi, bila Dia dah mula rindukan saya, Dia bagi ujian. Dia bukan nak susahkan saya. Tapi sebab Dia nak tahu, betul ke saya cintakan Dia? Kat bibir kata cinta, tapi kat hati macam mana? Dan paling penting, Dia nak saya ingat kat Dia. Sebab Dia sangat-sangat rindu kat saya. Jadi bila diuji, saya rasa sedih, saya rasa payah, saya rasa sakit. Saya mesti nangis! Tapi, bila macam ni, satu kata yang pasti saya sebut. Dan saya sangat pasti bukan hanya saya, tapi kita semua pasti akan sebut... \"Ya Allah!\"
Dan Dia pasti akan gembira. Sebab kita dah ingat Dia balik. Rindu yang terlerai... Sweet~~~
"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu..." (Al-Baqarah, 152).
Dia Pendamping Abadi

Dia sangat memahami saya. Betul, Dia sayang saya. Tapi, Dia pun tahu fitrah seorang hamba, yang Dia sendiri ciptakan. Setiap manusia perlukan pendamping. Yang bersifat sama. Seorang hamba.
Jadi setiap orang dah ditentukan jodoh masing-masing. Termasuklah saya sendiri. Tapi, semua orang nak yang terbaik. Saya pun! Dan Dia tahu saya nakkan yang terbaik. Oleh kerana sayangnya Dia pada saya, Dia hadiahkan saya satu nasihat. Takkan sama kaca dengan permata. Kita meminta emas, takkan kita nak berikan gangsa?
"... sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula)..."
(An-Nur: 26).

Saat itu, takkan pernah tercepat. Dan takkan sekali-kali terlambat. Bila si dia di sisi, yang pasti Dia tetap di hati.
Awak dah berkenalan dengan Allah? Kalau belum, mulakan lah perkenalan. Bimbang kalau terlambat. Dan awak takkan pernah sedar... Yang Allah tu sweet~~~ Thank you Allah!

Sunday, 25 December 2011

.::Senyum Adalah Sedekah::.

Editor: Nota Penulis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Wajah yang tanpa dihadiri senyuman tidak dapat menampakkan seri di mukanya. Malah mempamerkan kekusutan yang jelas dan terang.  Adakalanya kita sebagai manusia begitu mudah terlupa untuk mengukir sebuah senyuman yang mana pelaksanaannya begitu mudah sekali dilakukan tanpa memerlukan kepayahan  sehingga mengeluarkan duit yang berjuta-juta untuk mendapatkannya. Malah senyuman itu berada di setiap wajah manusia yang Allah ciptakan. Terpulang pada diri sendiri untuk menggerakkan otot-otot muka untuk senyum mahupun tidak. Bahkan haiwan-haiwan juga mampu mengukirkan sebuah senyuman walaupun mereka tidak memahaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.
 
Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya." Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.

Mulai hari itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa menguntum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.

Tidak hairan jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh senyum. Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya-Allah, apapun persoalannya nescaya dapat di atasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu s.a.w beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada kesombongan seberat biji sawi”. Seorang laki-laki bertanya : “Ada seseorang suka bajunya bagus dan sandalnya bagus (apakah termasuk kesombongan?)”. Beliau menjawab : “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia." (Riwayat Muslim)

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Riwayat Ahmad)

Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:”Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha." (Riwayat Muslim).

Dalam aspek kesihatan senyuman yang diukir merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melaui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.


Senyum seindah suria yang membawa cahaya.
Senyumlah dari hati.
Duniamu berseri.
Senyum umpama titian dalam kehidupan.
Kau tersenyum, ku tersenyum.
Kemesraan menguntum.
Senyum kepada semua.
Senyumanmu amatlah berharga.
Senyum membahagiakan.
DENGAN SENYUMAN, TERJALINLAH IKATAN.

Thursday, 8 December 2011

.::Wahai Kekasih::.

Artis: Nazrey Johani
Wahai Kekasih 

Wahai seorang kekasih,
Telah lama kau dirindui
Pilu sedih dalam kerinduan
Menangis pun tak berair mata
Namun hati tetap gembira
Syafa’atmu menanti di sana

Sungguh tabahnya hatimu
Menanggung derita yang melanda
Biarpun perih pedih tersiksa
Kerana ummat kau tempuhi jua

Wahai rasul kaulah segalanya
Contoh terbaik ummat akhir zaman
Akhlakmu tinggi kan kami jejaki
Sifatmu sempurna pelengkap peribadi

Wahai rasul kami merindui
Sinaran wajahmu mendamaikan jiwa
Manis senyumanmu penawar hiba
Di hati kami kaulah segalanya

Wahai seorang kekasih,
Telah lama kau dirindui
Pilu sedih dalam kerinduan
Menangis pun tak berair mata
Namun hati tetap gembira
Di akhirat kita kan bersua.
 
Theme by Yusuf Fikri